(FOTO FB Muhyiddin Yassin)
KUALA LUMPUR, 20 November- Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi membincangkan pembentukan kerajaan Persekutuan.
Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, bekas Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU itu turut memuat naik gambar pertemuan mereka yang turut disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan seorang lagi individu tidak dikenali.
"Pagi ini saya menerima kunjungan YAB Tan Sri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.
"Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat," katanya dalam hantaran tersebut.
Lokasi pertemuan ketiga-tiga tokoh politik itu bagaiamanapun tidak dapat dipastikan namun dipercayai di kediaman Tan Sri Muhyiddin.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, PN (73); Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6); Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing meraih satu kerusi.
Semalam Muhyiddin berkata PN sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang dapat menerima prinsip dan perjuangan gabungan itu dalam membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, kecuali dengan PH.
(Tan Sri Muhyiddin (TENGAH) diapit Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri Abdul Hadi Awang)