fb fb fb fb fb

Kerajaan Johor yang stabil hanya boleh dicapai menerusi kebijaksanaan rakyatnya - PM

(Ismail Sabri pada majlis Penyerahan Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia di Kota Tinggi, Johor/PMO) 

KOTA TINGGI, 9 Mac - Kerajaan Johor yang stabil hanya boleh dicapai menerusi kebijaksanaan rakyatnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Johor bertuah kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Singapura menjadikan negeri ini tumpuan dan pusat pelaburan.

Namun tegasnya, tanpa kestabilan usaha memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sukar dicapai.

"Hari ini kita lihat kerajaan di Peringkat Persekutuan adalah kerajaan yang stabil selepas mendatangani Perjanjian Persefahaman (MoU).

"Perkara ini disebut selepas titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Baginda berpuas hati dengan kestabilan politik pada masa kini.

"Jika berlaku perubahan kerajaan, kita boleh lihat dalam negara kita, terdapat 3 Perdana Menteri dalam satu masa dan ini disebabkan oleh ketidakstabilan politik," katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Geran Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Barat, di sini hari ini.

(FOTO PMO)

Ismail Sabri berkata gerakan sukarelawan KRT bukan sahaja perlu dekat di hati Keluarga Malaysia.

Malah, perlu sentiasa peka dan prihatin dengan perkembangan semasa bagi mendepani isu dan cabaran dalam komuniti masa kini.

"Saya percaya ramai pernah menjadi ahli Rukun Tetangga dan saya juga pernah menjadi ahli rukun Tetangga di kawasan komuniti saya. Disebabkan itu peranan KRT amat penting bagi memastikan keselamatan komuniti," tambah beliau.

Tahun ini kerajaan menyediakan Geran Rukun Tetangga sebanyak RM50 juta kepada lebih 8,000 KRT di seluruh negara.

Ia bagi memperkukuhkan peranan KRT dalam komuniti melalui pelaksanaan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga.

Agenda tersebut merangkumi Gerak Kerja KRT Sejahtera, Gerak Kerja KRT Selamat, Gerak Kerja KRT Sihat serta Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah.

Dalam sidang media kemudiannya, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri setuju sama-sama menanggung kos untuk membangunkan infrastruktur di 3,200 lot tanah kediaman bagi generasi kedua Felda di Johor.

Kos pembangunan insfrastruktur itu melibatkan peruntukan RM60 juta.

"Ini adalah konsep baharu yang diperkenalkan, kita tak jual lagi rumah siap tetapi lot tanah kepada generasi kedua untuk mereka membina rumah sendiri dengan kerajaan negeri menyediakan tanah dan kita akan turut membangunkan dari segi infrastruktur," katanya.

Media Baharu