SIMPNG RENGGAM, 9 Mac - Tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor yang berbaki dua hari sahaja lagi diambil kesempatan sepenuhnya calon bertanding.
Mereka mengambil peluang menggunakan masa yang ada dengan merancakkan lagi aktiviti meraih undi.
Calon Barisan Nasional (BN) Layang-Layang, Abdul Mutalib Abdul Rahim mengadakan aktiviti ramah mesra dari rumah ke rumah di sekitar pekan Simpang Renggam dan Layang-Layang.
(Calon BN Layang-Layang, Abdul Mutalib Abdul Rahim)
Jentera kempen juga mengingatkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab 12 Mac ini.
"Ambillah peluang pada 12 Mac ini untuk membuat pilihan, ia adalah hak dan tanggungjawab anda sebagai pengundi calon mana yang dapat berkhidmat untuk rakyat," katanya.
Calon Perikatan Nasional (PN) Layang-Layang, K. Alagathiran pula mengakui jadualnya semakin padat menjelang hari-hari terakhir kempen.
(Calon PN Layang-Layang, K. Alagathiran)
Pengalaman membantu jentera parti pada PRU lalu banyak membantu beliau mendekati masyarakat.
"Pada PRU lalu saya wakil calon dan kali ini sebagai calon, jadi perkara itu sangat membantu. Tidak ada masalah kerana ia bukan perkara baharu untuk saya," menurutnya.
(Calon MUDA Machap, R. Sangaran)
Turut mempergiat kempen secara bersemuka calon parti MUDA, R. Sangaran bagi kerusi Dewan Negeri Machap.
"Kempen turun padang dan ada juga secara media sosial. Kempen secara bersemuka lebih dekat kerana kita dapat tahu kehendak rakyat," kata R. Sangaran.