fb fb fb fb fb

Keputusan 'lepas tanpa bebas' Ahmad Zahid tidak jejas PRK Johor

(Ahmad Zahid Hamidi)

MUAR, 7 September- Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menjejaskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu merupakan kebenaran yang ditegakkan tanpa perlu penjelasan daripada peguam negara.

"Pada siapa mengatakan ini bukan keputusan hakim, itu silap, baca balik. Ada pihak minta penjelasan peguam negara. Saya nak beritahu mereka, Jabatan Peguam Negara telah menyatakan satu sampai 11 (perkara), itulah penjelasannya.

"Kemudian ada lagi siaran akhbar ringkas daripada Jabatan peguam Negara, menyatakan apa yang mereka buat itu diperakui hakim," katanya ketika ditemui media selepas sesi 'walkabout' di Taman Pertama Indah, di sini.

Selasa lalu, Jabatan Peguam Negara menegaskan keputusan terhadap 47 kes yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu adalah berdasarkan alasan yang telah dikemukakan dan diterima mahkamah.

Dalam perkembangan lain, pengundi UMNO yang dikenali sebagai 'pengundi putih' diingatkan bahawa sekarang bukan masanya untuk melakukan protes.

Ahmad berkata, pengundi harus memikirkan impaknya pada tempoh masa panjang sekiranya tidak keluar mengundi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kedua-dua kawasan itu.

"Kalau mereka protes bererti tempat ini jadi (kawasan) pembangkang, (justeru) apa faedah untuk lima tahun akan datang? Jadi kita kena berfikir panjang sebelum mahu mengambil keputusan yang negatif," katanya.

(Ahmad Maslan (kanan) bersama Nazri Abdul Rahman, Calon PH bagi DUN Simpang Jeram (kiri) pada
sesi 'walkabout' di Taman Pertama Indah di Muar, Johor)

Berita berkaitan:
Tiada campur tangan dalam kes Zahid - PM
DNAA kepada Ahmad Zahid budi bicara peguam negara, diputuskan mahkamah
Kebenaran terserlah, Ahmad Zahid mangsa pendakwaan politik – Setiausaha Agung UMNO
Ahmad Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan

Media Baharu