SUNGAI BULOH, 13 November- Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yakin lebih ramai pengundi muda akan turun menunaikan tanggungjawab, pada 19 November ini.
Keyakinan itu berdasarkan kehadiran dan sambutan pengundi muda pada kempen dan program anjuran beliau di Sungai Buloh.
Pada masa sama, Khairy yang turut berkempen menerusi media sosial mengakui golongan tersebut tertarik dengan kempen pilihan raya kali ini.
"Alhamdulillah saya nampak semakin ramai yang mula mengambil tahu tentang pilihan raya.
"Media sosial sangat penting untuk generasi muda, mungkin tidak dapat berjumpa dengan semua pengundi-pengundi baharu ini tetapi yang penting di platform media sosial, mereka sangat tertarik dengan kempen pilihan raya kali ini," katanya.
(Khairy Jamaluddin)
Khairy menjelaskan demikian kepada media selepas bermain badminton bersama bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei di Kampung Baru Subang.
Seramai 150,000 pengundi berdaftar di Sungai Buloh dan daripada jumlah tersebut, lebih 40 peratus adalah pengundi muda.