KUALA LUMPUR, 12 Mei - Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bukti kerjasama erat parti-parti dalam komponen itu dan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dengan kemenangan itu, PH harus bekerja kuat bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Dalam pada itu, Fadillah berkata kerajaan akan terus menumpukan pembangunan ekonomi dan usaha membantu rakyat dalam pelbagai aspek.
"Bagaimana kita hendak strukturkan semula supaya kita mempunyai kemampanan dari segi kewangan dan dengan kemampanan itu kita dapat fokus bangunkan negara kita dari segi projek dan fokus kepada bantuan terus kepada rakyat," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program kejohanan golf amal anjuran Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) di Bukit Kiara, di sini.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan PRK Kuala Kubu Baharu menunjukkan pertambahan pengundi baharu kepada Kerajaan Perpaduan.
Beliau menyifatkan penduduk kawasan itu matang apabila memilih wakil rakyat yang boleh meneruskan legasi Ahli Dewan Negeri terdahulu.
"Jelas bahawa pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu ini adalah pengundi yang matang kita dapati terdapat pertambahan jumlah pengundi Melayu yang keluar dan menyokong calon daripada kerajaan perpaduan, ini adalah satu perkembangan yang baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kelompok Persidangan UMNO Cawangan Bahagian Bagan Datuk.