(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menunaikan kewajipan
pada hari pengundian awal PRU15 di Bukit Aman/FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 18 November - Orang ramai tidak perlu bimbang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata jaminan itu diberikan susulan seramai 80,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan mengawasi proses hari pengundian esok.
Katanyanya langkah itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terjamin.
"PDRM memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengancam ketenteraman awam terutamanya yang boleh menjejaskan proses pembuangan undi.
"Bagi memastikan kelancaran aliran trafik, PDRM telah melaksanakan Op Lancar dengan tumpuan kepada lokasi-lokasi strategik yang kerap berlaku kesesakan lalu-lintas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
(Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani /FOTO BERNAMA)
Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
"Semua pihak diingatkan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat terbuka atau perarakan bagi meraikan kemenangan setelah PRU15 berakhir," katanya
Selain itu, bagi memastikan kelancaran aliran trafik, Acryl Sani berkata pihaknya melaksanakan Op Lancar dengan memberi tumpuan di lokasi strategik yang dikenal pasti kerap berlaku kesesakan lalu lintas.