fb fb fb fb fb

PRU15: Masanya sudah tiba, tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 18 November - Hala tuju dan nasib negara bergantung di tangan rakyat Malaysia menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.

Lebih 21 juta warganegara yang layak mengundi akan memilih kepimpinan negara yang baharu.

Mereka inilah yang bakal menentukan nasib 945 calon yang bertanding untuk 222 kerusi parlimen di seluruh negara daripada empat gabungan parti politik besar di samping gagasan kecil.

Ini turut mengambil kira 116 kerusi daripada tiga negeri yang turut membubarkan dewan undangan negeri masing-masing iaitu Perlis, Perak dan Pahang dan juga satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Pada PRU15 ini, pengundi muda berusia 18 tahun turut diberi kuasa untuk menentukan masa depan negara.

Penguatkuasaan had umur pemilih ini menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang, dan 1.2 juta daripadanya adalah golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun.

(Profesor Datuk Dr Ismail Sualman)

"Pertama sekali kita mengharapkan supaya mereka turut mengundi...itu yang paling penting sekali kalau mereka tidak turut mengundi mereka tidak akan menentu dan mencorakkan bagaimanakah kepimpinan dan pilihan itu," kata Penganalisis politik dan pensyarah kanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismail Sualman.

Setiap pengundi mempunyai penilaian yang berbeza terhadap setiap calon yang bertanding.

Justeru, masih ada pengundi yang tidak pasti calon mana yang patut diundi lantas memilih untuk membuat keputusan disaat akhir ketika berada di pusat pengundian.

(Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah Syed Sheikh)

"Pertama adakah calon tersebut ingin menjadi calon kerana rakyat...kita boleh tengok dari segi percakapannya kalau asyik-asyik dia atau asyik-asyik hendak kata orang lain...itu kita kena 'bendera merah'.

"Kedua, adalah dari segi apa yang dia hendak buat, apa perkara yang dia boleh selesaikan apabila dia menang dan yang ketiga, apakah perancangan jangka panjang untuk memajukan negara dan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat," kata Penganalisis Politik dari Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Tarikh 18 dan 19 November telah diisytihar sebagai cuti umum, selain 30 syarikat konsesi lebuh raya turut menyatakan persetujuan untuk memberi tol percuma pada tarikh yang sama.

Tugas kita sebagai rakyat, jalankan tanggungjawab dan pilih yang terbaik.

Satu undi, mengubah masa depan negara.


Laporan disediakan wartawan, Azizi Harun.

Media Baharu