fb fb fb fb fb

Hujan, pengundi muda tetap keluar awal teruja pengalaman pertama

GOMBAK, 19 November- Pengundi baharu di Parlimen P098 Gombak teruja keluar mengundi buat kali pertama hari ini.

Tinjauan media di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Gombak 2 mendapati rata-rata pengundi baharu memilih untuk keluar mengundi pada waktu pagi.

Sebanyak 12 saluran dibuka di SK Taman Seri Gombak hari ini melibatkan 7,597 daftar pemilih.

1,388 daripadanya merupakan pengundi baharu.

Menurut pengundi muda Gombak, Samuel Christy Kitharan, hujan lebat tidak mematahkan semangatnya untuk mengundi hari ini."Saya berada di sini pada pukul 8.30 pagi. Ini pengalaman pertama saya untuk mengundi dan ia sangat seronok,".


(12 saluran dibuka di SK Taman Seri Gombak hari ini)

Seorang lagi pengundi Gombak, Siti Mariam Shukri berkata dia keluar awal untuk mengundi hari ini. "Saya datang bersama keluarga dan berasa teruja kerana ia pengalaman pertama dalam hidup, keluar untuk melaksanakan tanggungjawab ini,".

Farhatul Najwa Zahari pula berkata antara perkara ditunggu ialah untuk keluar mengundi. "Saya sangat gembira kerana berada di sini hari ini. Sebelum ini tidak cukup umur untuk berbuat demikian. Saya lihat ramai golongan muda keluar mengundi," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Secara keseluruhan, seramai 15,138 pengundi baharu layak mengundi di Parlimen Gombak hari ini.

Parlimen Gombak menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; calon PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; calon PH Datuk Seri Amirudin Shahri; calon Pejuang Datuk Aziz Jamaludin Md Tahir dan calon Bebas, Ir Zulkifli Ahmad.


Media Baharu