fb fb fb fb fb

Empat 'Top five' Umno menang kerusi diwakili, Mahdzir gagal

(Foto FB Ahmad Zahid Hamidi)

KUALA LUMPUR, 20 November- Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan empat barisan "top five" Umno memenangi kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Di Bagan Datuk - Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan kerusi Parlimen itu buat penggal berikutnya, meskipun menang tipis.

Ahmad Zahid yang mewakili Barisan Nasional memperoleh jumlah majoriti 348 undi selepas mendapat 16,578 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin - 16,230 undi, diikuti Dr Muhammad Faiz Na'aman daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 8,822 undi dan calon Bebas, Tawfik Ismail 226 undi.

Pada PRU14, Ahmad Zahid menang dengan majoriti 5,073 undi selepas memperoleh 18,909 undi, menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) dan calon PAS, Ata Abdul Muneim Hasan Adli.

Seperti diramal, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat berjaya memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan memperoleh 53,075 undi.

Beliau yang berhadapan saingan lima penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha yang mendapat 33,178 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus - 21,875.

Turut memberikan saingan ialah calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ramly Awalludin 529 dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran - 779 undi.

Datuk Seri Mohamad menang dengan majoriti 19,897 undi.

Kerusi Parlimen Rembau sebelum itu dimenangi Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional.


(Foto FB Mohamad Hasan)

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertanding di Parlimen Bera mempertahankan kerusi berkenaan apabila menewaskan dua calon lain dengan majoriti 16,695 undi.

Ismail Sabri memperoleh 31,762 undi; manakala calon PH, Abas Awang memperoleh 15,067 undi dan wakil PN, Asmawi Harun sebanyak 12,719 undi.

Pada PRU14, Ismail Sabri mendapat 20,760 undi mengalahkan calon PKR, Zakaria Abdul Hamid sebanyak 18,449 undi dan calon PAS, Musannif Ab Rahman memperoleh 8,096 undi.

Di Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga menang dengan 8,390 undi majoriti.

Keseluruhan Naib Presiden Umno itu memperoleh 25,410 undi.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menewaskan calon muda, Mohamad Ridhwan Rasman yang memperoleh 17,020 undi dan calon daripada Pakatan Harapan, Onn Jaafar sebanyak 4,903 undi.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap.

Beliau yang memperoleh 17,258 undi tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Nurul Amin Hamid (28,217 undi).

Ustaz Nurul Amin menang dengan majoriti 10,959 undi.

Selain Mahdzir, dua calon lain ialah Muaz Abdullah, PH (2,702 undi) dan PEJUANG, Razali Lebai Salleh (4 undi).

Media Baharu