fb fb fb fb fb

Empat negeri diterajui UMNO bantu kempen PRK KKB

FOTO BERNAMA

PONTIAN, 4 Mei- Empat negeri yang diterajui UMNO akan membantu kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Selangor iaitu Johor, Pahang, Perak dan Melaka.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata empat negeri itu perlu bergerak terus ke pejabat UMNO Ulu Selangor pada hari ini dan esok untuk menentukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang perlu dibantu.

Beliau berharap Setiausaha Perhububungan  dapat menyusun jumlah jentera yang bakal digerakkan dengan kadar yang mencukupi untuk menjaga di dua PDM.

Beliau ditemui semasa Majlis Konvokesyen Madrasah Tahfiz Pendita Madani, Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian, Johor.

Sementara itu, beliau meminta semua negeri untuk mengaturkan program bacaan Yaasin dan tahlil selepas solat Maghrib bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 pada 11 Mei nanti.

Program berkenaan perlu diatur dengan kreativiti di negeri masing-masing kecuali Selangor akan melaksanakan sambutan berkenaan di Kuala Kubu Baharu.

Dalam perkembangan berlainan, Datuk Seri Ahmad  yang juga merupakan Pengerusi Madrasah Tahfiz Pendita Madani mencadangkan supaya tenaga pengajar di 200 tahfiz yang berdaftar di Johor untuk dikursuskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah.

Katanya, ia bagi tujuan mempunyai silibus asas yang membolehkan  tenaga pengajar menggunakan semasa proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) kepada pelajar tahfiz lelaki serta perempuan.

Beliau mencadangkan kursus khas itu dilakukan semasa cuti panjang persekolahan bagi memudahkan urusan tenaga pengajar untuk menyertai kursus itu.

Bagi tahfiz yang tidak berdaftar, pihaknya meminta untuk pusat pembelajaran berkenaan untuk mendaftarkannya.

0405 MASLAN BANTU KEMPEN
Datuk Seri Ahmad pada  Majlis Konvokesyen Madrasah Tahfiz Pendita Madani, Rumah Citra Sri Pinang, Benut

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE