HULU SELANGOR, 4 Mei- Merancakkan aktiviti ekonomi berteraskan pembangunan industri, pelancongan tempatan dan keusahawanan merupakan antara lima teras yang digariskan oleh Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei depan.
Tumpuan diberi bagi memastikan penduduk kawasan itu terutama golongan belia mempunyai peluang kerjaya di sekitar Hulu Selangor.
"Manifesto ini beri tumpuan kepada penduduk setempat secara am, juga untuk golongan belia (yang) amat dekat di hati saya. Saya ingin beri peluang kepada golongan muda di sini untuk capai impian mereka, cari pekerjaan, bina keluarga di sini.
"Jadi warga-warga KKB boleh terus duduk di KKB tetapi mungkin bekerja di Serendah, kawasan industri. Apa yang pentingnya kita ingin mereka kerja di sini, duduk di sini, bina keluarga di sini," katanya kepada pemberita di sini.
Empat lagi aspek diberi tumpuan termasuklah, pemerkasaan kesejahteraan Kuala Kubu Baharu, menambah baik sistem pengangkutan dan kemudahan awam serta meningkatkan kelajuan internet.
Turut ditawarkan, pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar serta pemuliharaan warisan budaya Kuala Kubu Baharu.
Lima teras Manifesto PH bagi PRK N.06 KKB diumum dalam Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali di sini, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu.