KOTA KINABALU, 15 November - Dua calon daripada Parti Damai Sabah gagal menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 selepas lewat tiba di Pusat Penamaan Calon.
Abdul Hata Abdul Hala gagal menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding kerusi DUN Sulabayan kerana tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Arena Masyarakat Semporna selepas 10 pagi.
Turut gagal menyerahkan borang pencalonan ialah Ahmad Daud Awang yang berhasrat untuk bertanding di DUN Bugaya dalam Parlimen Semporna.
Sebaik proses penamaan calon berakhir pada 10 pagi, maka kempen PRU DUN Sabah bermula selama 14 hari, iaitu hingga 11.59 malam pada 28 November seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRU DUN Sabah kali ini dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 November manakala hari pengundian 29 November. - BERNAMA