fb fb fb fb fb

Dewan Tertinggi BN bermesyuarat menjelang penyerahan nama calon perdana menteri

KUALA LUMPUR, 22 November- Beberapa pimpinan Barisan Nasional (BN) tiba di Menara Dato Onn bagi menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual berlangsung 11.00 pagi ini.

Antara yang hadir; Pengerusi MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Setiausaha MCA Datuk Chong Sin Won, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan serta beberapa Ahli Parlimen UMNO termasuk Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ketika media cuba mendapatkan maklumat mengenai intipati mesyuarat, masing-masing memilih untuk menguncikan mulut.

Berbaki hanya 3 jam untuk mana-mana parti menyerahkan perakuan sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen terhadap seorang calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


(Beberapa pimpinan BN tiba di Menara Dato Onn bagi menghadiri
mesyuarat 
Dewan Tertinggi BN)

Dalam perkembangan berkaitan, wartawan RTM Atiqah Ismail melaporkan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional sudah bermula kira-kira 11.30 pagi tadi di Menara Dato Onn.

Bagaimanapun dalam tinjauan sebelum itu mendapati beberapa pimpinan tertinggi BN tidak kelihatan dan kemungkinan mereka menggunakan pintu masuk laluan lain.

Barisan pimpinan tersebut adalah Pengerusi, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohammad Hassan, Naib Pengerusi, Tan Sri Vigneswaran merangkap Presiden MIC.

Terdahulu, Presiden UMNO itu dilaporkan keluar dari kediamannya menggunakan kenderaan lain melalui laluan belakang, khabarnya bagi mengelak bertembung media.

Media Baharu