(Calon-calon bertanding kerusi Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 5 November- Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di P096 Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Datuk Seri Tengku Zafrul, kali pertama bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Barisan Nasional (BN).
Beliau dicabar penyandang, Datuk Seri Dr Dzulkefly yang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH), calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mohd Shaid Rosli dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN-PAS).
Pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Selangor Rahilah Rahmat.
"Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar, saya juga berterima kasih pada SPR kerana berjaya menyempurnakan proses pada pagi ini,"kata Datuk Seri Tengku Zafrul.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam pada itu menyahut cabaran calon-calon lain dan mengakui tidak akan memandang rendah pencabarnya.
"Saya tidak akan pandang sesiapa terlalu hebat atau saya tidak akan pandang rendah pada sesiapa pun, kita ada empat calon dan saya mengambil serius semuanya,"katanya.
Suasana di pusat penamaan calon turut meriah dengan kehadiran kira-kira 500 penyokong parti yang bertanding, berkumpul di perkarangan stadium sejak awal pagi lagi.
Datuk Seri Dr Dzulkefly memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 8,498 undi sekaligus merampas semula kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU12.
Beliau tewas kepada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN) pada PRU13.
(Datuk Seri Tengku Zafrul mewakili BN mengaminkan doa bersama penyokongnya)
(Calon PH, Datuk Seri Dr Dzulkefly bersama penyokong)