(Anthony Loke ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Parti DAP 2023/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 10 September- Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke optimis keutuhan kerjasama parti bawah naungan Kerajaan Perpaduan menjadi formula penting mempertahankan kerusi Dewan Negeri Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober.
Beliau berkata komitmen DAP akan dikerah sepenuhnya bagi membalas jasa jentera Barisan Nasional membantu kemenangan calon Pakatan Harapan dalam dua PRK di Johor semalam.
"Kita nampak kesungguhan BN untuk memenangkan calon PH dan jelas sekali itu adalah formula kejayaan dan sudah tentu apabila sampai Dewan Negeri Pelangai nanti giliran PH pula berkempen untuk UMNO BN.
"Sudah tentu DAP juga akan mengerahkan jentera kita untuk menumpukan perhatian di Pelangai," kata Anthony dalam sidang media selepas berucap dalam Persidangan DAP 2023 di sini.
Persidangan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
(Anthony Loke ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Parti DAP 2023/BERNAMA)
Anthony juga berkata Persidangan DAP 2023 mencipta sejarah tersendiri apabila turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke optimis, kerjasama utuh itu dapat mempertahankan kerusi Kerajaan Perpaduan di Dewan Negeri Pelangai kelak.
"Ini merupakan semangt yang baharu dan semangat kemenangan ini akan dibawa ke Dewan Negeri Pelangai di Pahang. Kita akan pastikan kemenangan calon perpaduan di Pelangai," kata Anthony dalam Ucapan Dasar Persidangan DAP 2023 di sini.
Senada dengan tema persidangan kali ini, “Perpaduan Demi Malaysia”, majlis turut dihadiri Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Program menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan DAP dari seluruh negara.