KUALA LUMPUR, 16 Februari- Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2022 (DPT BLN1/2022) yang telah diperakui dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari, hingga 17 Mac depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN1/2022 berkenaan mengandungi nama bagi 36,408 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga31 Januari 2022 yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.
"Turut disenaraikan dalam DPT BLN1/2022 adalah 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 7,164 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Januari," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau juga menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status atau kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Januari, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.
Menurutnya jika mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Katanya mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
"Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPTBLN1/2022.
"Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPTBLN1/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri," katanya.
"SPR menyediakan 4 kaedah semakan bagi DPT BLN1/2022 iaitu seperti Portal SPR, aplikasi mudah alih MySPRSemak, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri , atau Hotline SPR," katanya