fb fb fb fb fb

Bubar DUN Kedah selepas Mac 2023

ALOR SETAR, 21 November- Kerajaan Kedah kekal dengan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal walaupun negeri itu dalam momentum terbaik selepas berjaya memenangi 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pembubaran itu hanya akan dilakukan pada bila-bila masa selepas Mac tahun hadapan.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi PN Kedah berkata keputusan itu dibuat susulan keadaan cuaca tidak menentu dan jangkaan banjir melanda sehingga Mac depan.

"Kita tidak mahu buat PRU sekarang kerana banjir dijangka berlaku antara bulan November hingga Mac, jadi selepas bulan Mac nanti, bila-bila sahaja pembubaran DUN itu boleh dilakukan.

"Kalau tidak dilakukan dalam tempoh itu, ia akan 'luruh' sendiri pada Julai tahun hadapan," katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.

(Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan membubarkan DUN Kedah berikutan PN dalam momentum yang terbaik selepas memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR semalam.

Terdahulu, Muhammad Sanusi hadir ke Majlis Kesyukuran PN bersama semua Ahli Parlimen PN yang baharu dipilih di Kedah, yang turut disertai ribuan penyokong parti itu di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut.

Media Baharu