fb fb fb fb fb

BN yakin bentuk kerajaan stabil dengan kerjasama GPS

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berucap pada majlis perasmian Lebuhraya Pan
Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08/BERNAMA)


SELANGAU, 14 November- Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas PRU15 dengan mendapat kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Perdana Menteri berkata, walaupun GPS bukan bersama sebagai parti komponen dalam BN, sejarah kedua-dua pihak ini sudah panjang dan saling memahami aspirasi di antara satu sama lain.

“Kita memahami antara satu sama lain, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak. Kita lebih memahami hubungan, yang walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita masih bersama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini.

Tambahnya, beliau pasti hubungan itu akan diteruskan kerana sebelum ini GPS turut menyertai UMNO ketika menjadi pembangkang dan kemudiannya menyertai kerajaan yang dibentuk BN pada 2020.

“Waktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kita. Dia tak sertai kerajaan PH semasa itu. Maknanya kita tetap bersama. Bila kita bentuk kerajaan yang baru, GPS juga bersama kita, pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.

Menyentuh kenyataannya sebelum ini berhubung keyakinan untuk BN memenangi PRU15, Datuk Seri Ismail Sabri berkata biarpun kemenangan itu nanti hanya berdasarkan majoriti mudah namun kerajaan akan tetap stabil ekoran penguatkuasaan undang-undang lompat parti.

 

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail bergambar dengan para hadirin pada majlis perasmian
Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08/BERNAMA)


Hadir sama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

"Beza sekarang dengan dulu, kalau dulu majoriti mudah itu amat membahayakan kerana masih boleh lompat parti. Sekarang ini dengan akta lompat parti, selepas menang tak ada siapa pun boleh lompat parti. Kalau lompat, dia kena kosongkan kerusi dan masuk pertandingan semula.

"Kerajaan stabil perlu diwujudkan. Kerajaan persekutuan tidak akan mampu berdiri sendiri tanpa sokongan daripada GPS. Seperti yang disebutkan bahawa apabila kerajaan stabil kita boleh tumpukan perhatian kepada meningkatkan ekonomi kita," katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lepas berkemungkinan akan dibentangkan semula dengan penambahbaikan jika BN diberi mandat menerajui kerajaan selepas PRU15.

Katanya sebahagian besar manifesto BN untuk PRU15 berkisar kepada belanjawan berkenaan.

“Ada kemungkinan juga (Bajet 2023 yang dibentang semula) ditambah baik, jadi kita akan tengok selepas PRU nanti. Yang pentingnya kita perlu menang dulu,” katanya.

Media Baharu