fb fb fb fb fb

BN tiada isu berkenaan calon pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR, 22 April- Barisan Nasional tiada sebarang masalah mengetengahkan calon daripada mana-mana parti yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, calon daripada Kerajaan Perpaduan adalah calon yang dipilih berdasarkan persefahaman dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan sama ada BN, PH atau parti-parti komponen yang lain.

Beliau yang juga pengerusi penyelarasan gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menyeru kepada semua pihak mengelak dari mengeluarkan kenyataan yang akan mengeruhkan asas perpaduan dan persefahaman dalam kerajaan.

"Ini termasuklah dalam konteks bagaimana kita perlu mengukuhkan persefahaman dan kerjasama ini dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan," katanya menerusi satu rakaman video.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan akan menyusun gerak kerja dan program-program untuk meyakinkan rakyat dan membawa misi politik yang baik daripada Kerajaan MADANI.

Politik kesederhanaan penting untuk menjamin kelangsungan dan usaha Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kestabilan negara, mengamalkan prinsip sederhana dan kepentingan semua masyarakat majmuk di Malaysia.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 27 April untuk pencalonan dan 7 Mei sebagai hari pengundian awal.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI