KLUANG, 13 Mac- Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, satu daripada ‘kerusi panas’ yang menjadi perhatian ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti 2,815 undi.
Calon BN, Abdul Mutalip Abd Rahim memenangi persaingan empat penjuru menewaskan calon PKR dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, calon Perikatan Nasional (PN) K.Alagathiran dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Ahmad Syafiq Othaman.
Abdul Mutalip yang juga bekas penyandang kerusi DUN Layang-Layang pada 2013 hingga 2018 memperoleh 7,551 undi manakala Maszlee memperoleh 4,736 undi.
Sementara itu, Alagathiran yang merupakan Ketua Pemuda Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Johor mendapat 1,278 undi manakala Ahmad Syafiq hanya mampu meraih 164 undi.
Keputusan diumum oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Layang-Layang Abdul Halim Abd Manap di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam pada pukul 10.45 malam ini.
Abdul Mutalip Abd Rahim
Ketika ditemui pemberita, Abdul Mutalip menzahirkan penghargaan dan kesyukuran kepada pengundi kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat di DUN berkenaan.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Warisan Negeri Johor itu juga merakamkan terima kasih kepada pimpinan BN dan UMNO peringkat pusat serta negeri kerana diberi peluang untuk kembali menjadi calon di DUN Layang-Layang.
Abdul Mutalip turut berjanji akan bekerjasama tanpa mengira fahaman politik dan parti dengan Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam.
“Ini adalah masa untuk kita bekerjasama, mungkin ada perkara yang memerlukan kolaborasi antara Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) bagi manfaat rakyat,” katanya.
DUN Layang-Layang merupakan DUN di bawah Parlimen Simpang Renggam.
Seramai 15,088 orang daripada 25,147 pengundi berdaftar di DUN Layang-Layang telah menunaikan kewajipan mereka hari ini.