KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Datuk Amizar Abu Adam dari parti Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang dengan majoriti sebanyak 2,949 undi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengesahkan kemenangan Amizar dalam pertembungan tiga penjuru.
Amizar memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli, 47 undi.
"Manakala, peratus keluar mengundi adalah sebanyak 72.12 peratus," menurut kenyataan.
Dalam pada itu, Pegawai Pengurus PRK Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail menyifatkan proses pilihan raya sepanjang dua minggu berjalan lancar tanpa sebarang isu besar.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua petugas terlibat dan parti bertanding atas kerjasama diberikan sepanjang tempoh tersebut.
Penghargaan juga ditujukan kepada pemilih Dewan Negeri Pelangai yang turun melaksana tanggungjawab demokrasi dengan peratusan keluar mengundi lebih 72 peratus melebihi sasaran awal iaitu 70 peratus oleh SPR.
"Semuanya berjalan lancar, bermula penamaan calon pada 23 September (dan) tempoh kempen dua minggu (dengan) semua parti politik mematuhi ketetapan SPR.
"Kerjasama baik ini menyebabkan proses penamaan calon, kempen dan hari pengundian hari ini berjalan lancar," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.
>