SHAH ALAM, 15 November- Seorang anggota polis yang lumpuh separuh badan Sarjan Azmi Abdul Rani, 53, tidak dapat menahan kesedihan selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau yang datang dengan berkerusi roda, tiba kira-kira pukul 10.00 pagi tadi dan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya untuk ke dewan mengundi.
Azmi berkata beliau lumpuh sebelah kanan badannya disebabkan penyakit darah tinggi dan kencing manis.
"Saya sedih sangat, dulu masa bertugas, datang mengundi lain (sihat) tetapi sekarang datang ke sini dengan berkerusi roda, rasa berbeza sangat. Ingat akan tanggungjawab kepada negara, saya hadir hari ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
(Foto fail)
Katanya ini adalah pengalaman terakhirnya untuk mengundi awal sebagai seorang anggota polis kerana akan bersara pada Mei depan.
Azmi antara 1,818 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia bagi kawasan Parlimen Shah Alam yang mengundi awal hari ini di IPK Selangor. -BERNAMA