fb fb fb fb fb

Anak muda Sungai Bakap mahu fasiliti sukan diperluaskan

Tinjauan RTM untuk mendapatkan reaksi golongan anak muda di Sungai Bakap

NIBONG TEBAL, 24 Jun - Impian setiap anak muda sudah pasti ingin memiliki kerjaya stabil selain mempunyai fasiliti sukan yang memberi manfaat buat mereka.

Itulah harapan golongan belia terhadap kedua-dua calon yang sedang hangat berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari ketiga hari ini.

"Sebagai contoh, pusat sukan yang ada di tempat pedalaman macam kawasan kampung. Golongan muda boleh berkumpul di pusat sukan untuk beriadah bersama-sama (jadi) kat situ boleh mengenali kawan-kawan lain," kata Zulhairie Rahim.

"Belia di sini kalau boleh nak minta e-sport (jadi) golongan muda boleh berkumpul main sekali dan juga kalau boleh ada gelanggang sepak takraw lebih sebab ramai anak muda berminat main takraw," kata Muhammad Aiman Ayob.

"Saya cadangkan agar buka satu gelanggang untuk golongan wanita sahaja untuk bermain bola jaring," kata Ainur Nadhirah Shahrul.

"Saya harap sesiapa pun yang menang nanti dapat menjalankan tugas dengan baik dan amanah selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia dengan lebih banyak," kata Noor Aliaa Razali.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 24 Mei, seramai 20, 919 dari 39, 279 pengundi belia berumur 18 hingga 39 tahun bakal menunaikan tanggungjawab pada 6 Julai nanti.

Kedua-dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

GRACE AISYAH KEDAYAN