fb fb fb fb fb

Amirudin Shari tawan Gombak, singkirkan Azmin Ali

Foto FB Amirudin

GOMBAK, 20 November- Kerusi 'panas' Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu Parlimen Gombak (P.098) sah milik calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Amirudin Shari.

Keputusan menyaksikan Amirudin merekodkan jumlah keseluruhan undi sebanyak 72,267 dengan majoriti 12,729 undi untuk menundukkan empat calon lain yang bertanding.

Kemenangan itu berjaya menyingkirkan penyandang selama tiga penggal iaitu Datuk Seri Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) yang hanya meraih 59,538 undi.

Wakil Barisan Nasional (BN), Megat Zulkarnain Omardin mendapat 30,723 undi manakala wakil Pejuang, Datuk Dr. Aziz Jamaludin dan wakil Bebas, Ir Hj Zulkifli masing-masing dengan 2,223 dan 675 undi.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz pukul 3.20 pagi tadi.

Sementara itu, Datuk Seri Amirudin merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Sudah pasti saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan parti dan juga semua petugas. Tidak ketinggalan kepada pengundi yang telah keluar mengundi sekali gus yang mempercayai kebolehan saya untuk berkhidmat kepada anda," kata Amirudin kepada RTM selepas sidang media pengumuman keputusan Parlimen Gombak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), di sini.

Peratusan keluar mengundi Parlimen Gombak adalah sebanyak 76.8 peratus daripada keseluruhan 206,744 pemilih berdaftar.


(Calon-calon yang bertanding di Parlimen Gombak bagi PRU15/FB Amirudin)

 

Media Baharu