GUA MUSANG, 9 Ogos- Permasalahan melibatkan lebih 20,000 penduduk di Dewan Negeri (DUN) Nenggiri dijamin diselesaikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia termasuk isu berkaitan penukaran hak milik tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) kepada peneroka, air dan juga menaik taraf infrastruktur.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata akan bertemu dengan penduduk dengan lebih dekat bagi mendengar permasalahan yang dialami.
"20 PDM (Pusat Daerah Mengundi).. di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah)..jadi untuk kali ini, saya minta rakan-rakan kita bawa permasalahan yang ada itu, walaupun kita telah menyelesaikan sebahagiannya, sedang diselesaikan dan akan diselesaikan.. bagi saya berjumpa dengan kepimpinan peneroka daripada KESEDAR. Tetapi saya pastikan akan menyelesaikan masalah yang dibawa oleh mereka ini.
"Saya pernah melalui PRK (Pilihan Raya Kecil). Bila saya berjanji, wajib saya kotakan," katanya kepada pemberita semasa menyampaikan ucapan dalam Program Temu Mata bersama Warga Peneroka KESEDAR dan Masyarakat Renok di sini.
Sementara itu, beliau jugak turut memaklumkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan berada dalam keadaan baik.
"Kita di dalam Kerajaan Perpaduan termasuk menteri, timbalan menteri yang mewakili UMNO serta Barisan Nasional (BN) setakat hari ini alhamdulillah kita dapat kerjasama baik...kerjasama baik juga daripada parti-parti di dalam Kerajaaan Perpaduan.
"Insya-Allah setakat ini prestasi daripada UMNO-BN adalah terbaik untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan," katanya.
Turut hadir dalam program yang sama Pengerusi KESEDAR Kelantan, Datuk Zawawi Othman, Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, rata-rata peneroka KESEDAR di Renok Baru menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak kerajaan yang cakna akan permasalahan yang dihadapi mereka selama ini.
"Jadi saya sebagai penduduk desa Renok Baru mengucapkan terima kasih kepada TPM (Timbalan Perdana Menteri) kita kerana hendak menyelesaikan masalah kami semua penduduk di sini terutama bekalan air yang kita perlukan di Renok Baru ini," kata penduduk, Mohammad Yajid Janil.
"Bagi pak cik, terima kasihlah kepada TPM hendak selesaikan masalah peneroka semua, kita berasa bangga, begitu senang hati dan berterima kasih banyak-banyak," kata penduduk, Rani Awang Su.
"Mok (mak cik) nak ucap terima kasihlah kepada TPM..jadi dia datang hendak selesai masalah mok di sini..masalah tanah geran, dia hendak datang selesai.. alhamdulillah," kata penduduk, Bidah Dollah.