fb fb fb fb fb

22,689 polis, tentera Johor keluar undi awal esok

(Persediaan pusat mengundi sempena PRU15 di Johor)

JOHOR BAHRU, 14 November- Seramai 22,689 pengundi terdiri daripada polis, tentera dan pasangan akan mengundi awal esok di 63 pusat mengundi di Johor sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia melibatkan 11,544 pegawai dan anggota polis.

Proses undi awal dijalankan di premis-premis polis dan tentera seperti di IPK, Kem PGA dan Kem Tentera.

"Esok, seramai 3,200 lebih pegawai dan anggota polis akan ditempatkan untuk penugasan bagi memastikan perjalanan undi awal oleh seramai 22,689 pengundi awal terdiri daripada polis, tentera dan pasangan di 63 pusat mengundi dan 86 saluran.

"Semalam seramai 727 pegawai dan anggota polis terlibat dalam undi pos. Kesemua mereka telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing di setiap ibu pejabat polis daerah dan formasi mengikut kaedah ditetapkan oleh SPR."

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru.

Dalam pada itu, lima lelaki berusia 30 hingga 57 tahun ditahan polis Johor atas pelbagai kesalahan termasuk perbuatan khianat sepanjang tempoh berkempen PRU15 dari 5 November hingga semalam.

70 laporan polis diterima setakat ini dan 17 kertas siasatan dibuka dengan kes tertinggi melibatkan 9 kesalahan khianat yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

(Kamarul Zaman Mamat melawat pusat pengundian di Dewan Dato' Onn)

Media Baharu