fb fb fb fb fb

10 pengundi positif COVID-19 tunai tanggungjawab di IPK Melaka

BUKIT BERUANG, 15 November - Seramai 10 pengundi positif COVID-19 hadir menunaikan tanggungjawab mereka di pusat pengundian awal, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Menurut pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas, kesemua mereka diwajibkan untuk memakai pelitup separuh muka.

Pengundi yang hadir juga perlu mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketat sebelum dibenarkan mengundi.

IPK Melaka turut menempatkan 2 pegawai KKM yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bagi membantu proses undi awal oleh pengundi yang positif.

"Kesemua pengundi positif ditempatkan di satu khemah khas dan akan dibenarkan masuk apabila tiada pengundi lain yang berada di dalam dewan," kata salah seorang pegawai KKM yang enggan mendedahkan namanya kepada pemberita.

(Khemah khas buat pengundi yang disahkan positif COVID-19)

Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian RTM, petugas menggunakan pensanitasi tangan sebelum masuk ke dalam tempat mengundi dan selepas mencelup jari mereka ke dalam botol dakwat.

"Pengundi positif juga perlu menggunakan pen yang berlainan yang telah disediakan untuk memangkah kertas undi.

"Mereka juga diminta hadir mengundi bermula pukul 4 petang iaitu sejam sebelum pusat pengundian awal ditutup untuk mengurangkan risiko jangkitan di tempat mengundi," katanya lagi.

Sebanyak 2 saluran mengundi dibuka di IPK Melaka bagi menampung 860 pengundi awal yang mengundi di kawasan terbabit.

Media Baharu