
JOHOR BAHRU, 14 Mac – Syarikat infrastruktur digital dan pusat data dari China, ZDATA Group Co Ltd, kini membangunkan pusat data berskala besar pertama di Malaysia yang menerima pensijilan GreenRE Platinum di Johor, dengan pelaburan sekitar RM8 bilion.
- Fasiliti peroleh Pensijilan Air Kitar Semula Pusat Data Hijau Malaysia; guna 100% air terawat semula untuk penyejukan, kurangkan penggunaan air tawar.
- Pembangunan berperingkat: kemudahan pertama dijangka operasi akhir Mac 2026; Fasa 2 suku kedua 2026; siap penuh menjelang akhir 2027.
- CTDC tandatangan term sheet untuk bekalan tenaga boleh diperbaharui, ladang solar mula 2028, jangkaan 630,000 MWh dan 400–500 pekerja.
Penarafan Platinum merupakan tahap kelestarian tertinggi di bawah skim GreenRE, yang diwujudkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA).
Pengarah anak syarikat milik penuh ZDATA, Computility Technology Sdn Bhd (CTDC), Yeo Yong Hwang dalam kenyataan memaklumkan, projek itu menetapkan penanda aras baharu bagi infrastruktur digital negara, sekali gus menjadikannya satu-satunya pusat data di Malaysia menerima pengiktirafan tersebut.
“Projek yang terletak di Gelang Patah itu akan dibangunkan secara berperingkat, dengan kemudahan pertama dijangka memulakan operasi pada akhir Mac 2026.
“Fasa 2 sedang berjalan dengan bangunan utama dan infrastruktur sokongan telah siap. Kerja akhir melibatkan lapisan premix dan pemasangan dalaman sedang dijalankan, dengan operasi dijangka bermula pada suku kedua 2026. Fasa selebihnya dijadual siap menjelang akhir 2027,” menurut kenyataan itu.
Fasiliti berkenaan turut memperolehi Pensijilan Air Kitar Semula Pusat Data Hijau Malaysia pada Ogos 2025, mengiktiraf penggunaan air terawat semula dalam infrastruktur berskala besar.
Salah satu ciri kemampanan utama fasiliti itu ialah reka bentuknya yang menggunakan 100 peratus air terawat semula dari dua loji rawatan berhampiran pusat data.
Ia membolehkan operasi penyejukan dijalankan tanpa menggunakan bekalan air minuman domestik, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sumber air tawar tempatan.
Selain itu, pusat data ZDATA direka untuk memenuhi piawaian kecekapan tenaga yang tinggi dan akan dikuasakan sebahagian besar tenaga boleh baharu (RE).
CTDC juga telah menandatangani term sheet strategik dengan BGMC Energy Holdings Sdn Bhd dan reNIKOLA Holdings Sdn Bhd untuk membangunkan program bekalan tenaga boleh diperbaharui berskala besar, termasuk aset ladang solar yang dijangka mula beroperasi pada 2028.
Menurut Yeo, dua tapak tersebut dijangka menjana kira‑kira 630,000 megawatt jam tenaga elektrik setahun, dan syarikat menjangka akan menggaji antara 400 hingga 500 pekerja apabila pusat data siap, dengan sekurang‑kurangnya 200 jawatan diisi bakat tempatan.