Proton terus catat momentum positif, rekod 13,566 unit jualan kenderaan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 4 Mac – PROTON meneruskan momentum positif pada Februari 2026 apabila mencatat jualan sebanyak 13,566 unit kenderaan, meningkat 20.8 peratus berbanding Februari tahun lalu meskipun aktiviti pasaran lebih perlahan susulan tempoh perayaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan Proton pada Februari meningkat 20.8% tahun ke tahun, menunjukkan momentum positif meskipun pasaran lebih perlahan semasa perayaan.
  • Jualan terkumpul dua bulan pertama 2026 naik 57.9% kepada 33,399 unit, mengukuhkan kedudukan pasaran syarikat.
  • Model Saga kekal terlaris dengan 6,047 unit pada Februari; fokus Proton kepada produk baharu dan pengalaman pemilikan terus dipertingkat.

Jumlah itu menjadikan jualan terkumpul bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 33,399 unit, meningkat 57.9 peratus berbanding tempoh sama 2025.

Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan menyusut 17.6% kepada 52,996 unit berikutan tempoh perayaan pada pertengahan Februari, menjejaskan aktiviti pendaftaran kenderaan.

Susulan itu, pegangan pasaran PROTON bagi
Februari dianggarkan sekitar 25.6 peratus, manakala pegangan pasaran setakat tahun ini sebanyak 28.5 peratus.

Model Proton Saga terus kekal sebagai model paling laris dengan 6,047 unit didaftarkan pada Februari, dengan jumlah jualan setakat tahun ini meningkat 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Proton X50 mencatat jualan 1,842 unit pada Februari, manakala Proton S70 merekodkan 1,940 unit dengan jualan setakat tahun ini meningkat 51.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi kukuh itu didorong oleh permintaan berterusan terhadap barisan model baharu serta usaha meningkatkan pengalaman pelanggan di bilik pameran dan pusat servis” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa.

Tambahnya, selain produk baharu, syarikat ini turut memberi perhatian kepada pengalaman pemilikan secara menyeluruh dan komited memastikan pengalaman memiliki kenderaan nasional tersebut lebih mudah dan memuaskan.