
PAUH PUTRA, 10 Julai – Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Insan akan terus diperkasa oleh Kementerian Ekonomi berikutan manfaat besar yang dinikmati oleh usahawan daripada kumpulan B40.
- Permohonan kepada Kementerian Kewangan supaya program IPR disambung untuk tempoh seterusnya.
- Pemantauan kementerian menunjukkan program memberi manfaat menyeluruh kepada peserta dan pelanggan.
- Mesin layan diri di UniMAP memudahkan capaian makanan dan membuka peluang pendapatan mampan kepada usahawan.
Malah permohonan juga dibuat kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya program itu disambung bagi tempoh berikutnya.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan hasil pemantauan kementerian di lapangan yang menunjukkan pelaksanaan program berkenaan memberi manfaat menyeluruh kepada peserta dan pelanggan.
“Hasrat kita adalah untuk pastikan program ini terus berjalan walaupun sekiranya kita lihat konsep ini mungkin kononnya sesuai di kawsan di bandar sebab ia menggunakan mesin dan sebagainya. Sebenarnya ia boleh diaplikasikan di Perlis seperti di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Ia terbukti ada kesinambungan dan peniaga yang kita temubual tadi menyatakan bahawa dia mendapat pendapatan tambahan bulanan pada kadar yang sangan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau meninjau pelaksanaan IPR Insan menerusi mesin layan diri yang membolehkan usahawan memasarkan makanan dimasak kepada
warga kampus selain melawat Food Bank dan Dapur Siswa MADANI.
Maklum balas yang diterima menunjukkan makanan yang dijual menerusi mesin layan diri itu mendapat sambutan menggalakkan dengan purata hasil jualan
sekitar empat ke lapan ribu ringgit sebulan.
Sementara itu, dalam kenyataan UniMAP bersempena dengan lawatan kerja Menteri Ekonomi itu, lawatan berkenaan melibatkan dua lokasi mesin IPR, iaitu di Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman dan Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah.
UniMAP memaklumkan lawatan Menteri Ekonomi itu bagi meninjau sendiri impak pelaksanaan inisiatif tersebut dalam membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui platform perniagaan yang lebih sistematik dan mudah diakses.
“Di Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman, peserta program Norleyana Nordin yang mengusahakan jualan makanan home-made melalui mesin layan diri, merekodkan purata jualan bulanan sebanyak RM2,178.80, dengan jualan tertinggi sebanyak RM4,905 pada Januari lepas.
“Di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah pula, Noor Hasfalela Mohd Noor berjaya mencatat purata jualan bulanan sebanyak RM4,595, dengan jualan tertinggi direkodkan pada Januari lepas berjumlah RM10,012, diikuti Februari dengan RM5,049 dan April merekodkan jualan RM4,868,” menurut UniMAP.
UniMAP memaklumkan pencapaian itu membuktikan bahawa pelaksanaan Mesin Layan Diri IPR bukan sahaja memudahkan warga kampus mendapatkan makanan lebih cepat dan mudah, tetapi juga berjaya membuka peluang kepada usahawan menjana pendapatan secara mampan menerusi penggunaan teknologi dan pendekatan perniagaan yang inovatif.