
MADRID, 20 Oktober – Potensi Yan Diomande yang menyertai Kelab Real Madrid mula terserlah dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini apabila beliau meledak gol menakjubkan ketika menentang Sevilla dalam aksi La Liga pada Ahad, menjelang pertemuan semula dengan bekas kelabnya, Leipzig, dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu.
- Real Madrid bayar rekod kelab 140 juta euro untuk dapatkan Diomande, sebahagian usaha membina semula pasukan selepas dua musim tanpa trofi.
- Masih menyesuaikan diri tetapi menunjukkan peningkatan: dua gol dan tiga bantuan dalam 11 penampilan, peluang meningkat selepas penggantungan Vinicius.
- Berjaya di Leipzig sebelum ke Madrid: 12 gol, lapan bantuan, dinobatkan Pendatang Baharu Terbaik Bundesliga dan kini didorong oleh tragedi keluarga.
Real Madrid membelanjakan rekod kelab sebanyak 140 juta euro (AS$157 juta) untuk mendapatkan khidmat Yan Diomande daripada RB Leipzig pada jendela perpindahan musim ini, berikutan potensinya untuk menjadi antara bintang bola sepak dunia, seperti yang ditampilkan pada Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, potensi besar Diomande bukan satu-satunya faktor yang mendorong Real Madrid membelanjakan jumlah besar untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 19 tahun itu.
Presiden kelab, Florentino Perez, berjanji kepada penyokong ketika berkempen untuk pemilihan semula pada Jun bahawa beliau akan membayar yuran perpindahan sebesar itu bagi mendapatkan bintang baharu, ketika Madrid berusaha membina semula kekuatan pasukan selepas dua musim tanpa menjulang trofi utama.
Diomande menunjukkan potensi yang cukup memberangsangkan ketika bersama Leipzig selama semusim di Jerman, selepas mula mencipta nama bersama kelab Sepanyol, Leganes.
Bagaimanapun DIamonde bukan dibawa masuk ke Madrid untuk mengisi kekosongan yang ketara dalam pasukan, malah kehadirannya menambahkan kesesakan dalam barisan serangan.
Pada hari pengumuman perpindahan Diomande, pemain sayap Brazil, Vinicius Junior, turut menandatangani kontrak baharu bersama Los Blancos sehingga 2032.
Madrid bergelut mencari keseimbangan ketika menurunkan Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Vinicius secara serentak pada musim lalu, apatah lagi dengan kehadiran seorang lagi bintang serangan yang dibawa masuk dengan nilai perpindahan rekod kelab.
Berdasarkan faktor-faktor itu, tidak menghairankan apabila Diomande masih berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan di ibu kota Sepanyol berkenaan.
Pemain muda itu sudah mempamerkan beberapa aksi berkualiti, namun masih belum benar-benar mengukuhkan kedudukannya sebagai tonggak penting dalam perancangan ketua jurulatih, Jose Mourinho, meskipun prestasinya semakin meningkat.
Diomande menjaringkan gol pertamanya untuk Madrid ketika menentang Villarreal pada 10 Oktober lalu, sekali gus membantu pasukannya mencatat kemenangan 1-0.
Bagaimanapun, penyudah cemerlang pemain sayap itu bukan tumpuan utama perlawanan berkenaan apabila Vinicius dilayangkan kad merah sebelum digantung empat perlawanan.
Situasi itu membuka lebih banyak peluang buat Diomande untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.
Beliau diturunkan sebagai pemain sayap kiri ketika Madrid membelasah Sevilla 4-1 pada Ahad, dengan Diomande meledak gol menerusi rembatan jarak jauh pada penghujung perlawanan.
Diomande turut mencipta bantuan gol untuk jaringan pembukaan Arda Guler, sekali gus mempamerkan aksi terbaiknya bersama kelab itu setakat ini.
Secara keseluruhan, beliau merekodkan dua gol dan tiga bantuan gol dalam 11 penampilan merentas semua pertandingan.
“Masih banyak yang perlu diperbaikinya. Dia masih muda, masih mentah dan belum menjadi pemain yang lengkap.
“Tuntutan di Real Madrid sangat tinggi… namun dia beraksi dengan cemerlang dan semakin berkembang,” kata Mourinho pada Ahad.
“Saya akan terus berusaha sehingga ke akhir”
Tekanan mampu membentuk seseorang menjadi lebih kuat dan setakat ini, Diomande berjaya mengharungi cabaran dalam perjalanan kariernya, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Beliau pernah berdepan penolakan selepas meninggalkan Ivory Coast untuk melanjutkan persekolahan di Florida, Amerika Syarikat, apabila gagal mencapai persetujuan dengan dua kelab Major League Soccer (MLS), Charlotte FC dan Colorado Rapids.
Diomande akhirnya membuat penampilan sulung di peringkat senior bersama Leganes ketika menentang Real Madrid pada Mac 2025.
Dalam 10 perlawanan bersama kelab itu, beliau menjaringkan dua gol sebelum memperoleh peluang beraksi di Jerman.
Bersama Leipzig, Diomande membantu kelab itu layak ke Liga Juara-Juara dengan sumbangan 12 gol dan lapan bantuan gol.
Beliau turut dinobatkan sebagai Pendatang Baharu Terbaik Bundesliga sebelum berhijrah ke Madrid.
Pemain sayap itu berkata, tragedi yang menimpa keluarganya menjadi sumber kekuatan untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Kakaknya, Roxane, meninggal dunia pada usia 15 tahun pada 2025 selepas minumannya dicampur bahan tertentu tanpa pengetahuannya, menurut penjelasan Diomande dalam surat terbuka yang diterbitkan The Players’ Tribune pada Jun.
“Awak seorang sahaja yang sentiasa percaya bahawa saya mampu menjadi Cristiano (Ronaldo) yang seterusnya, ketika orang lain mentertawakan saya,” tulis Diomande kepada kakaknya yang telah meninggal dunia.
“Awak memberitahu semua orang, ‘Adik saya akan menjadi pemain terbaik di dunia.’ Saya akan buktikan bahawa awak betul, atau saya akan terus berusaha sehingga ke akhir,” katanya.
Sebagai kelab yang telah menjulang kejuaraan Eropah sebanyak 15 kali, Madrid menyediakan pentas terbaik buat Diomande untuk merealisasikan impian itu.
“Dia perlu memperbaiki penyudahnya… memberikan lebih banyak bantuan gol dengan lebih baik… tetapi semua itu akan datang.
“Saya masih ingat ketika Vinicius tiba dan bergelut untuk menyesuaikan diri. Dalam tempoh dua atau tiga tahun, dia menjadi pemain bertaraf tinggi,” kata Mourinho.
Vinicius tidak digantung daripada beraksi dalam saingan Eropah. Diomande pula berharap Mourinho memberinya satu lagi peluang untuk menyerlah ketika menentang bekas kelabnya, Leipzig, pada Rabu.
Madrid menyasarkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam tiga perlawanan pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.- AFP