
KUALA LUMPUR, 8 April – Ketidaktentuan global yang berterusan menuntut sektor perniagaan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), untuk bertindak lebih tangkas serta menyesuaikan operasi masing-masing.
- Kenaikan kos bahan mentah dan gangguan logistik memberi tekanan kepada kelangsungan pengusaha makanan tempatan.
- Pengusaha menyesuaikan operasi, contohnya tingkatkan tempahan minimum daripada 100 kepada 200 mangkuk untuk kurangkan kos.
- Permintaan pencuci mulut tradisional kekal stabil menerusi acara berskala kecil walaupun tempahan besar berkurangan.
Pengusaha makanan tempatan turut berdepan tekanan kos bahan mentah dan gangguan logistik yang memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan.
Pengusaha Cendol Sawit Melawati, Muhammad Firdaus Abdul Jalil berkata, situasi semasa mendorong beliau merancang strategi perniagaan dengan lebih teliti selain mempergiatkan aktiviti promosi.
“Ekoran cabaran semasa, kami telah membuat persediaan sejak awal tahun. Jika sebelum ini tempahan minimum adalah 100 mangkuk, kini kami tetapkan kepada 200 mangkuk.
“Langkah ini membantu mengurangkan kos operasi, sekali gus membolehkan kami menampung kenaikan harga bahan mentah,” katanya kepada RTM.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan permintaan terhadap produk masih menggalakkan walaupun kerajaan sebelum ini membatalkan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di peringkat kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai langkah penjimatan.
Menurutnya, walaupun tempahan berskala besar berkurangan, permintaan bagi pencuci mulut tradisional kekal stabil melalui penganjuran acara berskala kecil.
“Kami berharap momentum ini dapat diteruskan walaupun selepas musim perayaan berakhir,” katanya.