
PUTRAJAYA, 13 November – Pasaran harta tanah negara menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 0.7 peratus pada suku ketiga tahun ini, dengan 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion direkodkan.
- Isu kediaman siap belum terjual meningkat kepada 33,598 unit bernilai RM19.55 bilion, terus menjadi cabaran pasaran.
- Inisiatif kerajaan termasuk jaminan pembiayaan perumahan SJKP sehingga RM20 bilion dan pengecualian duti setem untuk rumah pertama sehingga RM500,000.
- Pasaran dijangka kekal stabil disokong pertumbuhan ekonomi dan aktiviti pembinaan, namun perubahan ekonomi luaran dan kemampuan pemilikan menjadi risiko.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan itu, isu kediaman siap dibina tetapi belum terjual terus menjadi cabaran apabila jumlahnya meningkat kepada 33,598 unit, melibatkan nilai RM19.55 bilion.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Sr Abdul Razak Yusak berkata, prestasi pasaran berkenaan mencerminkan keyakinan industri terhadap sektor harta tanah negara, disokong pelbagai inisiatif strategik kerajaan.
Antaranya, peningkatan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), selain lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
Dari segi prestasi subsektor, kediaman terus mendominasi pasaran dengan menyumbang 61 peratus daripada keseluruhan transaksi, diikuti pertanian sebanyak 18.5 peratus.
Indeks Harga Rumah Malaysia turut mencatat peningkatan 0.5 peratus, dengan harga purata rumah mencecah RM507,809 seunit.
Dalam perkembangan berkaitan, pelancaran kediaman baharu meningkat kepada 19,642 unit berbanding 11,533 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Mengulas prospek pasaran, Abdul Razak berkata, sektor harta tanah dijangka kekal stabil, disokong pertumbuhan ekonomi negara, pergerakan harga yang terkawal serta aktiviti pembinaan yang aktif.
Bagaimanapun, perubahan ekonomi luaran dan cabaran kemampuan memiliki rumah kekal antara faktor yang boleh mempengaruhi prestasi pasaran pada masa hadapan.