Pakej rangsangan perlu utamakan modal kerja PMKS – SAMENTA

Gambar fail/RTM

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Sokongan bagi modal kerja perlu menjadi keutamaan sekiranya kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi khususnya bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penstrukturan semula pinjaman dan kemudahan Banker’s Acceptance tambahan sehingga 6 bulan untuk membantu pengeksport PMKS atasi tekanan aliran tunai.
  • Percepatkan bayaran balik cukai dan perluaskan siling jaminan SJPP supaya PMKS, khususnya pembuatan dan eksport, mendapat akses modal kerja lebih mudah.
  • Geran Pembangunan Pasaran tambahan ke wilayah bukan tradisional serta insentif tenaga dan pendigitalan rantaian bekalan bagi daya tahan jangka panjang.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng dalam kenyataan berkata sokongan jangka panjang penting bagi mengurangkan tekanan kos dan kekangan aliran tunai.

Jelasnya, harga minyak global kini mencecah lebih AS$ 100 setong, menyebabkan kos bahan api dan tenaga melonjak sehingga hampir 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan operasi bagi sesetengah sektor.

”Justeru, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk penstrukturan semula pinjaman bagi PMKS yang terjejas serta menyediakan kemudahan Banker’s Acceptance (BA) tambahan sehingga 6 bulan kepada pengeksport.

”SAMENTA juga menggesa agar bayaran balik cukai dipercepatkan serta siling jaminan bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) diperluaskan bagi memastikan PMKS, khususnya dalam sektor pembuatan dan eksport, mendapat bantuan modal kerja lebih mudah,” jelasnya.

Pada masa sama, SAMENTA juga mencadangkan pengecualian caj bagi Sijil Tempasal Keutamaan (Preferential Certificates of Origin) oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mengurangkan beban pentadbiran pengeksport PMKS ketika krisis.

Bagi membina daya tahan jangka panjang, beliau memohon agar kerajaan menyediakan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) tambahan khusus untuk penembusan pasaran ke wilayah bukan tradisional seperti Asia Tengah, Afrika, dan Amerika Selatan bagi membantu perniagaan beralih daripada zon berisiko tinggi.

”Ketika tempoh krisis ini, sokongan daripada syarikat-syarikat besar terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) amat diperlukan menerusi pelarasan harga sementara melibatkan pembekal PMKS.

Tegasnya, bagi mengurangkan kebergantungan jangka panjang, sebarang langkah baharu harus berasaskan keberhasilan termasuk pendigitalan penjejakan rantaian bekalan dan beralih kepada pembekal di rantau ASEAN bagi mengurangkan risiko geopolitik.

Mengulas lanjut, insentif untuk kecekapan tenaga juga perlu diperluas merangkumi geran tenaga solar atau jentera automatik, bagi mengurangkan kos operasi untuk jangka panjang.

Pada masa sama, PMKS digesa menilai semula operasi bagi meminimumkan kos termasuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk menjimatkan penggunaan tenaga dan kos pentadbiran.

Jika berdepan kekangan aliran tunai, PMKS harus bertindak proaktif dan berbincang dengan pihak bank untuk menstruktur semula pinjaman atau jaminan.