
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kos penghantaran perkapalan bagi beberapa laluan berpotensi melonjak sehingga 50 peratus.
- Kenaikan harga minyak dan risiko keselamatan susulan ketegangan Asia Barat menambah tekanan kos operasi serta risiko bagi industri perkapalan.
- Konflik berpanjangan berisiko memberi limpahan kepada perdagangan global dan pasaran tenaga, menjejaskan permintaan serta struktur kos industri perkapalan.
- MTTSL menggunakan faktor penyesuaian bahan api untuk menampung dan memindahkan perubahan kos bahan api kepada pelanggan.
- Syarikat menyasarkan mengumpul RM652.5 juta melalui IPO; majoriti dana akan digunakan bagi pemerolehan sekurang-kurangnya 12 kapal kontena baharu.
Perkara itu berikutan kenaikan harga minyak dan risiko keselamatan yang lebih tinggi, susulan ketegangan di Asia Barat yang kian memuncak.
Pengarah Urusan MTT Shipping and Logistics Bhd (MTTSL), Ooi Lean Hin, berkata konflik berpanjangan itu juga berisiko memberi kesan limpahan kepada perdagangan global dan pasaran tenaga, sekali gus menjejaskan permintaan serta struktur kos industri perkapalan.
Bagaimanapun, katanya, mekanisme faktor penyesuaian bahan api telah membolehkan syarikat membuat pelarasan kos penghantaran mengikut perubahan harga minyak, sekali gus memastikan operasi berjalan dengan lancar.
“Dalam industri ini, kami mempunyai satu mekanisme iaitu faktor penyesuaian bahan api (fuel adjustment factor) atau faktor penyesuaian tangki bahan api. Mekanisme ini digunakan untuk menampung kenaikan kos bahan api.
Faktor ini juga bergerak mengikut perubahan harga ia akan meningkat apabila harga minyak naik, dan menurun apabila harga minyak turun.
Justeru, ia merupakan mekanisme yang adil kerana membolehkan kami menampung atau memindahkan perubahan kos harga minyak kepada pelanggan,” katanya demikian dalam sidang media selepas pelancaran prospektus IPO syarikat berkenaan di sini.
Syarikat pengendali kontena itu menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM652.5 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menerusi penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 April 2026.
Daripada jumlah tersebut, 95.7 peratus akan digunakan bagi pemerolehan sekurang-kurangnya 12 kapal kontena baharu, manakala baki akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian.
Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 2.5 bilion saham dan harga IPO sebanyak RM1.03 sesaham, permodalan pasaran MTTSL semasa penyenaraian dianggarkan kira-kira RM2.6 bilion.