
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Rakyat disaran meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat, dengan penekanan kepada mental, kewangan isi rumah, dan kekuatan komuniti.
- Kekal rasional, kawal emosi dan tapis maklumat supaya tidak panik.
- Urus kewangan dengan bijak dan sediakan simpanan kecemasan keluarga.
- Kuatkan jaringan komuniti untuk saling membantu dalam situasi sukar.
- Sokong langkah kerajaan seperti subsidi, bantuan kewangan SARA dan MyKasih.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mazlan Che Soh, rakyat perlu kekal rasional, tidak panik, mengurus kewangan dengan bijak serta mengukuhkan jaringan komuniti untuk saling membantu.
“Kesiapsiagaan rakyat sangat penting untuk memastikan negara kekal stabil kita kena kekal bersolidariti bersama kerajaan dalam menangani isu yang sedang berlaku dan rakyat kena fokus pada tiga perkara pertama kawal emosi dan tapis maklumat supaya tidak mudah panik yang kedua urus kewangan dengan baik dan sediakan simpanan kecemasan.
“Ketiga kita kena kuatkan jaringan komunitilah supaya kita boleh saling membantu dan inilah pendekatan yang paling realistik untuk membina ketahanan masyarakat,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan masih mengekalkan kestabilan melalui subsidi bahan api, bantuan kewangan seperti SARA, dan program MyKasih, selain mengamalkan dasar luar berkecuali dan seimbang untuk menjamin keselamatan bekalan negara.