Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil, disokong operasi BNM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 5 Mac– Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini, disokong oleh operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil disokong operasi BNM menyerap lebihan mudah tunai.
  • BNM menjalankan beberapa tender repo berbalik untuk mengurus kecairan mengikut tempoh berbeza.
  • Tawaran repo berbalik Islam dan kemudahan murabahah disediakan untuk pasaran dana Islam.
  • Bank pusat menyediakan tender konvensional dan murabahah semalaman untuk menyokong kestabilan pasaran.

Mudah tunai dalam sistem perbankan dianggarkan sebanyak RM34.75 bilion dalam pasaran konvensional dan berjumlah RM23.50 bilion dalam dana Islam.

Hari ini, BNM menjalankan tiga tender repo berbalik, masing-masing RM1.0 bilion bagi tujuh hari, RM800 juta untuk 32 hari dan RM500 juta bagi 92 hari.

BNM turut menawarkan satu tender repo berbalik Islam (jual dan beli balik) bernilai RM500 juta untuk tempoh tujuh hari.

Bank pusat itu juga mengumumkan ketersediaan kemudahan repo berbalik, perjanjian jual dan beli balik serta kemudahan murabahah komoditi bercagar dengan tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.

Pada pukul 4.00 petang, BNM akan menjalankan tender konvensional semalaman sehingga RM37.1 bilion dan tender murabahah semalaman sehingga RM24.0 bilion. -BERNAMA