
KUALA LUMPUR, 15 Januari – Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meningkat kepada paras 1,730 menjelang akhir 2026, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
- FBM KLCI berpotensi capai 1,730 menjelang akhir 2026 menurut unjuran Maybank IB.
- Skenario optimistik boleh dorong indeks ke 1,850, dipacu saham perbankan dan sektor pembinaan serta tenaga.
- Maybank IB jangka pendapatan pasaran meningkat sekitar lapan peratus pada 2026, dipimpin sektor perbankan.
- Ringgit dijangka stabil sekitar RM4.05–RM4.00, disokong aliran masuk bon, pelaburan asing, AI dan dasar fiskal positif.
Ketua Penyelidikannya, Lim Sue Lin berkata, indeks itu berpotensi melonjak sehingga 1,850 jika senario ekonomi yang lebih optimistik menjadi kenyataan.
“Unjuran ini akan dipacu terutamanya oleh saham perbankan, memandangkan statusnya sebagai komponen terbesar FBM KLCI, di samping kaunter pembinaan dan tenaga seperti Gamuda dan Tenaga Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media Tinjauan Makro dan Pasaran Malaysia 2026 yang diadakan secara maya.
Maybank IB turut mengunjurkan pertumbuhan pendapatan keseluruhan pasaran sebanyak lapan peratus pada 2026, dengan sebahagian besar sumbangan didorong sektor perbankan.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Tukaran Asing (FX) Maybank, Saktiandi Supaat berkata, ringgit dijangka berlegar antara RM4.05 hingga RM4.00 berbanding dolar AS pada separuh pertama 2026, sebelum kembali ke paras RM4.05 menjelang akhir tahun.
“Prestasi mata wang tempatan yang mengatasi mata wang serantau lain bukan hanya disumbangkan oleh kelemahan dolar, malah disokong ekonomi domestik yang kukuh,” katanya.
Aliran masuk bon yang kukuh, kitaran pelaburan langsung asing yang baik, ledakan kecerdasan buatan (AI), sokongan dasar berterusan serta kedudukan fiskal yang positif turut menyokong pengukuhan ringgit.