Bila suara kanak-kanak menjadi bukti digital – The Voice of Hind Rajab

Gambar hiasan/RTM

Filem separa dokumentari The Voice of Hind Rajab meletakkan penonton berhadapan dengan satu realiti yang sukar dielakkan iaitu bagaimana suara seorang kanak-kanak, yang sepatutnya dilindungi oleh sistem kemanusiaan, akhirnya berubah menjadi bukti digital kepada kegagalan sistem itu sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suara kanak-kanak Hind Rajab menjadi bukti digital yang mendedahkan kegagalan sistem perlindungan awam.
  • Filem memusatkan naratif pada panggilan kecemasan, menjadikan suara sebagai elemen dominan yang menghantui.
  • Filem menegaskan peranan media dan teknologi sebagai arkib moral untuk menentang penapisan dan memulihkan kebenaran.

Panggilan kecemasan Hind Rajab bukan sekadar rakaman audio, tetapi dokumen hidup yang merakam ketakutan, harapan dan akhirnya keheningan yang menyayat hati.

Dalam landskap media kontemporari, teknologi sering diraikan sebagai alat kemajuan dan penyelamatan. Namun filem ini mengganggu naratif tersebut. Teknologi komunikasi khususnya sistem panggilan kecemasan yang dicipta untuk tujuan bantuan, diangkat sebagai saksi bisu kepada ketidakberdayaan struktur perlindungan awam.

Rakaman tersebut bukan hasil manipulasi kecerdasan buatan atau rekaan sinematik, tetapi bukti sahih yang tidak dapat disangkal, sekali gus menolak usaha penafian atau pengaburan fakta.

Kekuatan utama filem ini terletak pada pendekatan penceritaannya yang minimal tetapi berkesan. Tanpa bergantung kepada visual dramatik berskala besar, pengarah memilih untuk memusatkan naratif dalam ruang terhad pusat panggilan kecemasan.

Keputusan ini menjadikan suara sebagai elemen dominan iaitu suara yang tidak boleh dielakkan, tidak boleh dipadam, dan terus menghantui. Apabila rakaman sebenar digunakan dalam babak lakonan semula, batas antara realiti dan representasi menjadi kabur, mewujudkan pengalaman tontonan yang hampir bersifat dokumentasi langsung.

Dari sudut estetika media, peralihan antara rakaman sebenar dan lakonan berlaku secara halus. Komposisi visual, pergerakan kamera, dan penggunaan telefon pintar sebagai medium naratif membentuk kesinambungan emosi yang konsisten.

Penonton sering terlupa bahawa apa yang didengar bukan lakonan semata-mata, tetapi suara sebenar mangsa. Inilah strategi media yang berkesan, bukan memaksa simpati, tetapi membenarkan realiti itu sendiri berbicara.

Menariknya, walaupun pengakhiran tragedi ini telah diketahui umum, filem ini masih berjaya membina ilusi harapan. Dalam beberapa detik, penonton seolah-olah dipujuk untuk percaya bahawa penyelamatan mungkin berlaku.

Harapan ini, apabila akhirnya runtuh, bukan sekadar kesedihan naratif, tetapi satu tamparan moral. Ia mengingatkan bahawa tragedi ini bukan kegagalan individu, tetapi kegagalan sistemik.

Filem ini mengangkat persoalan besar tentang kuasa media global, siapa yang menentukan suara mana yang didengar, dan suara mana yang disenyapkan? Apabila rakaman panggilan Hind dimasukkan ke dalam struktur sinematik dan diedarkan secara global, ia berubah daripada arkib peribadi menjadi memori digital kolektif.

Dalam konteks ini, filem berfungsi sebagai arkib alternatif yang menentang penapisan, propaganda, dan dominasi naratif arus perdana.

The Voice of Hind Rajab bukan sekadar karya sinema atau dokumentasi tragedi. Ia adalah pernyataan media tentang keperluan moral bukti digital. Dalam dunia yang semakin mempertikaikan kebenaran, suara yang dirakam ini menjadi benteng terakhir terhadap pemadaman sejarah.

Filem ini membuktikan bahawa apabila teknologi digunakan dengan kejujuran dan empati, ia mampu mengembalikan suara kepada mereka yang telah lama dinafikan hak untuk didengar.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Nurdayana Mohamad Noor
Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia
e-mel: dayananoor@usm.my