Ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan hadapi ketidaktentuan global

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 April – Malaysia kekal berada pada kedudukan yang kukuh dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Asas ekonomi kukuh disokong struktur pelbagai, permintaan domestik mantap, inflasi terkawal dan sektor kewangan stabil.
  • Persekitaran global dipacu faktor geopolitik, pemecahan ekonomi serta perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan.
  • Reformasi struktur perlu diteruskan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan pertumbuhan mampan disokong pelaburan serta permintaan domestik.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Marzunisham Omar berkata, kekuatan itu disokong oleh struktur ekonomi yang pelbagai, permintaan domestik yang mantap, inflasi yang terkawal serta sektor kewangan yang stabil.

Menurut beliau, persekitaran global kini dipacu tiga perubahan utama iaitu faktor geopolitik, persekitaran ekonomi global yang semakin berpecah serta perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan, yang memberi implikasi besar kepada pertumbuhan dunia.

“Malaysia sebenarnya memasuki tempoh persekitaran global yang sangat mencabar ini daripada kedudukan yang kukuh dan kita berada pada kedudukan yang agak baik untuk mengharungi risiko yang mendatang.”

Tambahnya, konflik di Asia Barat turut meningkatkan risiko kepada ekonomi global, khususnya melalui tekanan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran kewangan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi perbincangan ekonomi Malaysia dalam acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Ekonomi Malaysia juga dijangka terus berkembang pada kadar yang mampan, disokong permintaan domestik serta aktiviti pelaburan yang berterusan.

Pada masa sama, beliau menegaskan reformasi struktur perlu diteruskan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta memastikan negara kekal berupaya menghadapi cabaran global.