BNPL: Elak perangkap hutang jangka panjang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Kemudahan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) memberikan fleksibiliti kewangan kepada pengguna, namun perlu dikawal bagi mengelakkan tekanan kewangan jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • BNPL beri fleksibiliti kewangan tetapi perlu dikawal untuk elak tekanan kewangan jangka panjang.
  • BNPL sesuai untuk kekangan aliran tunai sementara atau kecemasan, bukan untuk kegunaan sepanjang masa.
  • Gagal urus hutang boleh menjejaskan profil kredit dan meningkatkan beban kewangan masa depan.
  • Kenal pasti tujuan guna BNPL dan pastikan kemampuan bayar balik, jangan jadikan sumber kewangan utama.

Setiausaha Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), Anthony Ang Sang Nang berkata, kemudahan kredit seperti BNPL dan kad kredit adalah instrumen yang diperkenal untuk mengurus kekangan aliran tunai sementara, khususnya apabila berdepan keperluan mendesak atau situasi tertentu.

Ia tidak harus digunakan melebihi kemampuan bayaran balik sehingga menyebabkan risiko perangkap hutang.

“Perniagaan sememangnya menggalakkan perbelanjaan, sebab itu diwujudkan kemudahan seperti BNPL dan kad kredit supaya pengguna boleh membeli. ”

”Namun sebagai pengguna, kita perlu bijak kerana ia hanyalah satu fasiliti yang sesuai digunakan dalam keadaan tertentu atau kecemasan, dan bukan untuk digunakan sepanjang masa secara sewenang-wenangnya,” katanya ketika menjadi tetamu program Biz Malaysia di TV1.

Tegas Anthony, kegagalan mengurus hutang dengan baik boleh menjejaskan profil kredit serta meningkatkan beban kewangan pada masa hadapan.

Pengguna juga perlu mengenal pasti tujuan penggunaan BNPL bagi memastikan kemampuan bayaran balik dan tidak menjadikan kemudahan itu sebagai sumber kewangan utama bagi menampung perbelanjaan harian.