MARANG, 13 Jun- Pengenalan program iTEKAD MulaNiaga diperkenal kepada 25 banduan dan bekas banduan terpilih ke arah usaha memperkasakan golongan itu dalam bidang keusahawanan.
Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Penjara Mohd Nasir Yusof berkata, melalui program anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) itu, peserta akan didedahkan dengan kursus intensif dalam bidang teknikal dan keusahawanan.
Peserta terpilih akan diberikan pembiayaan patuh syariah iaitu geran iTEKAD dan Skim Pembiayaan Mikro MADANI BSN.
Ia bagi menyediakan sumber ekonomi lebih baik untuk menjalani kehidupan selepas hukuman.
"Objektif pertama adalah untuk memastikan kesinambungan program yang mereka ikut di dalam ni. Kemahiran yang mereka ada.
"Kelas kemahiran mereka ni ke kelas A lah. Sebab barang yang dihasilkan oleh mereka ni Mempunyai nilai yang tinggi," katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu Mohd Nasir Yusof melancarkan program iTEKAD BSN MulaNiaga di Marang.
Sementara itu Shafiq (bukan nama sebenar) menyatakan rasa teruja untuk menambah baik kemahiran yang dimiliki.
"Saya rasa program seperti ini sangat baik, sebab sebelum ini saya sendiri pun tidak tahu yang saya boleh menceburi bidang berkaitan tekstil. Program sebegini memang memberikan nilai positif kepada peserta," katanya.
Bagi Nazdy (bukan nama sebenar) pula, dia tidak menyangka yang dia boleh menenun songket.
"Dahulu saya bekerja sebagai mekanik, sekarang saya tak sangka yang saya boleh menenun songket. Ini semua selepas menyertai kursus yang dianjurkan pihak penjara," katanya.
Dalam pada itu program perintis yang diperkenalkan itu diharapkan akan diperluas ke negeri-negeri lain pada masa akan datang.