fb fb fb fb fb

Malaysia–New Zealand komited lonjak perdagangan dua hala 50%

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui pemberita selepas sesi libat urus Majlis Perniagaan ASEAN-New Zealand (ANZBC), di Auckland

AUCKLAND, 14 Julai -Malaysia dan New Zealand komited untuk melonjakkan nilai perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu berkembang daripada hubungan diplomatik kepada perkongsian ekonomi yang kukuh.

"Ini bukan sekadar sebuah forum perniagaan. Ia mencerminkan hubungan mendalam yang telah kita pupuk selama beberapa dekad. Daripada pertukaran diplomatik awal hinggalah kepada perdagangan dan pelaburan strategik, kerjasama kita telah berkembang menjadi lebih kukuh, meluas, dan bercita-cita tinggi," katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Majlis Perniagaan ASEAN–New Zealand (ANZBC), di sini.

Perdagangan dua hala Malaysia-New Zealand mencecah RM10.72 bilion pada 2024, menjadikan Malaysia rakan dagang kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN bagi New Zealand.

Tambahnya eksport New Zealand ke ASEAN hampir 60 peratus sejak 2010, perlu terus diperkukuhkan menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand serta Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand.

Dalam pada itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, Malaysia bersedia untuk menambah 100 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melanjutkan pengajian ke New Zealand.

Jelasnya, ini berdasarkan kesediaan universiti di negara itu menerima pelajar Malaysia, sejajar dengan usaha kerajaan menyediakan alternatif pendidikan ke luar negara.

"Kita telah mendapat beberapa tawaran daripada beberapa universiti di New Zealand untuk menghantar pelajar-pelajar tajaan MARA dan mungkin pelajar-pelajar daripada tajaan Petronas, JPA dan lain-lain agensi untuk dihantar ke New Zealand.

"Dan di United Kingdom mereka telah memberikan diskaun sebanyak 20 hingga 30 peratus. Dan saya telah meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Puan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand untuk mencapai KPI ini supaya pelajar-pelajar yang di bawah tajaan kerajaan dan agensi kerajaan ini dapat dihantar ke sini," katanya sambil menambah ketika ini hanya 690 pelajar Malaysia direkodkan menyambung pengajian di New Zealand.

Mengulas lanjut, Malaysia turut komited menyediakan kursus jangka pendek kepada pelajar New Zealand melibatkan bidang pengajian teknikal, khusus dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

TETITIA YUSOFF