fb fb fb fb fb

“Sudah lama impikan untuk bertemu” - Sultan Ibrahim zahir terima kasih kepada Putin

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bersalaman dengan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Majlis Sambutan Negara di Grand Kremlin Palace. Foto- BERNAMA

MOSCOW, 6 Ogos - “Sudah lama beta impikan untuk bertemu anda secara peribadi,” titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, ketika lawatan rasmi baginda ke Kremlin, hari ini. 

Seri Paduka menzahirkan penghargaan atas jemputan tersebut dan menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai suatu penghormatan peribadi.

Baginda turut mengagumi kepimpinan Presiden Putin yang berwibawa dalam mendepani cabaran besar negara, serta menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Rusia atas tragedi di Semenanjung Kamchatka.

Dalam pertemuan di Grand Kremlin Palace, Presiden Putin menegaskan hubungan persahabatan Malaysia dan Rusia telah terjalin hampir enam dekad, selain mengenang tiga lawatannya ke Malaysia yang disambut mesra di peringkat tertinggi.

Beliau memaklumkan, perdagangan dua hala antara Januari hingga Mei tahun ini meningkat lebih 40 peratus dan yakin lawatan Seri Paduka akan membawa hasil positif serta memberi peluang mengenali Moscow yang disifatkan sebagai antara metropolis paling pesat membangun di dunia. - VIORY

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN