fb fb fb fb fb

Zoo baharu di Johor, lokasi berpotensi dikaji

ISKANDAR PUTERI, 21 Jun - Kerajaan Johor sedang mengenal pasti tapak berpotensi bagi pembinaan zoo negeri yang baharu dengan keluasan 20.2 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kajian awal bagi membangunkan pembinaan zoo negeri yang baharu itu juga sudah bermula.

(Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor)

"Tanah untuk zoo baharu berkenaan sudah dikenal pasti dan disyorkan oleh kerajaan negeri. Kajian masih di peringkat awal dengan perbincangan dengan agensi awam dan swasta sedang berjalan.

"Selepas kajian awal ini siap,kita akan kemukakan semula kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan dan permohonan peruntukan pembangunan zoo berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di sini.

Tambah Jafni, Zoo Johor di kawasan lama akan dikekalkan berikutan ia mempunyai nilai sejarah.

Zoo Johor sedia ada yang terletak di Jalan Gertak Merah, di tengah-tengah pusat bandar raya itu merupakan zoo tertua di negara ini dan berusia 94 tahun.

Operasi Zoo Johor itu dihentikan buat sementara waktu sejak 18 Oktober 2020 berikutan pandemik COVID-19 dengan kerja naik taraf sedang giat dilakukan terutama membina semula sistem perpaipan.

Media Baharu