fb fb fb fb fb

Ziarah Kasih Merdeka semarak bulan kebangsaan di Padang Besar

Foto RTM

BESERI, 11 Ogos -Program Ziarah Kasih Merdeka antara inisiatif utama sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Parlimen Padang Besar tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Ruzaini Rais berkata, program itu dilaksanakan dengan menziarahi pesara kerajaan, veteran pasukan keselamatan, aktivis masyarakat, bekas kepimpinan tempatan, warga emas serta ahli keluarga penduduk yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, program itu akan menjelajah ke lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Padang Besar dengan sasaran 100 penerima akan disantuni bersama sumbangan barangan keperluan asas dan saguhati sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral.

Pendekatan turun padang seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan masyarakat, malah membolehkan setiap permasalahan penduduk ditangani secara terus dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan PERKESO.

"Ada juga yang cuba kita selesaikan masalah yang patut menerima bantuan daripada pihak JKM. Kami akan panjangkan permohonan mereka itu dan ada juga kami akan panjangkan juga hasil daripada lawatan rasmi kami untuk kami panjangkan kepada pihak PERKESO dan ada mereka yang masih belum dapat lagi kita katakan pencen ilat," katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Kasih Merdeka bersama kepimpinan cawangan Beseri dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di enam buah rumah sekitar Felcra Lubuk Sireh.

Keluarga yang diziarahi terdiri mereka yang uzur, sedang menjalani rawatan susulan di hospital dan mangsa kemalangan yang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan berterusan untuk menjalani kehidupan seperti sedia kala.

TETITIA YUSOFF