fb fb fb fb fb

Zambry ke Sri Lanka, teroka kerjasama baharu

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 9 Oktober - Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akan mengadakan lawatan rasmi ke ibu negara Sri Lanka, Colombo, bermula hari ini sehingga 12 Oktober.

Zambry dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, Mohamed Uvais Mohamed Ali Sabry.

Pertemuan tersebut akan memberi peluang terbaik kepada kedua-dua pihak untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta meneroka bidang kerjasama baharu yang berkepentingan bersama.

(Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir / FOTO FAIL)

“Zambry juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Sri Lanka, Dinesh Gunawardena, dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Pada lawatan itu juga, Zambry turut akan mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan di Sri Lanka untuk meneroka potensi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Zambry juga akan menghadiri Mesyuarat ke-23 Majlis Menteri-Menteri Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (IORA) pada 11 Oktober sebagai sebahagian daripada program rasminya di Sri Lanka.

“Kehadiran Zambry memberikan dorongan untuk mengukuhkan lagi penglibatan Malaysia di rantau perairan Lautan Hindi dan kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.

Media Baharu