fb fb fb fb fb

Zakat fitrah Wilayah Persekutuan ditetapkan antara RM7 hingga RM22

FOTO FACEBOOK Dato' Setia Dr. Naim

KUALA LUMPUR, 26 Februari- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini di Wilayah Persekutuan sebanyak RM7, RM15 dan RM22 mengikut jenis beras yang dimakan.

Selain itu, MAIWP memperuntukkan sebanyak RM19.97 juta bagi Bantuan Pengimarahan Ihya’ Ramadan kepada 675 surau, 94 masjid dan 146 surau Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berharap institusi masjid dapat menganjurkan program berimpak tinggi sepanjang Ramadan bagi menyatukan ummah.

"Dengan bantuan yang diberikan ini, jawatankuasa masjid dan surau perlu merancang program yang dapat menarik minat masyarakat, khususnya golongan muda, serta menjadikan masjid dan surau sebagai pusat penyatuan ummah," katanya selepas menyampaikan bantuan tersebut di ibu negara hari ini.

Dalam perkembangan lain, MAIWP turut mengumumkan kenaikan imbuhan sebanyak RM200 kepada Imam Ratib, Pembantu Bilal dan Noja yang berkuat kuasa sejak Januari lalu.

Bagi membantu golongan asnaf menyambut Ramadan, MAIWP meluluskan Insentif Persediaan Ramadan sebanyak RM500 kepada 32,296 penerima bantuan sara hidup membabitkan peruntukan berjumlah RM16.148 juta.

Selain itu, sebanyak RM9.45 juta diperuntukkan bagi penyediaan juadah berbuka puasa secara percuma menerusi Program Iftar Rahmah MADANI.

SITI AISHAH MD ISA