
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Yayasan Wilayah Persekutuan menyambut baik Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 sebagai kerangka penting memperkukuh sistem pendidikan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berteraskan kesaksamaan.
- Tekankan intervensi bersasar bagi pelajar bandar B40 untuk memastikan kesaksamaan peluang pendidikan.
- Sediakan akses jalur lebar, teknologi digital dan AI untuk sokong literasi, numerasi dan kemahiran anak bandar B40.
- Perlu subsidi prasekolah, program kesedaran keibubapaan dan kerjasama kerajaan, NGO, PIBG serta komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berpandangan, pelaksanaan RPN perlu memberi tumpuan kepada intervensi bersasar khususnya pelajar bandar berpendapatan rendah bagi memastikan kejayaan pendidikan yang lebih saksama.
“Akses kepada kemudahan asas seperti jalur lebar, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) serta peluang pembelajaran mengikut keperluan sebenar amat penting dalam membina asas literasi, numerasi dan kemahiran sosial kanak-kanak B40 bandar.
“Bagi menangani jurang pembelajaran sejak usia awal, Yayasan Wilayah Persekutuan melabur dalam program seperti PredCom serta penyediaan ruang pembelajaran kondusif di bawah projek perumahan rakyat (PPR) bagi menyokong pembelajaran dan pembangunan komuniti,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, sokongan pendidikan awal turut perlu merangkumi subsidi yuran prasekolah mampu milik dan program kesedaran keibubapaan, selain kerjasama erat antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti bagi memperluas akses pendidikan awal berkualiti.